Anwar utus surat kepada Prabowo bantu selesai isu pelaburan FELDA di Indonesia
BANGI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutus surat rasmi kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto bagi memohon perhatian terhadap isu pelaburan FELDA di negara berkenaan, khususnya membabitkan PT Eagle High Plantations Tbk (EHP).
Anwar berkata tindakan itu diambil susulan risiko kerugian kewangan besar yang terpaksa ditanggung FELDA akibat keputusan pelaburan terdahulu.
Menurutnya, nilai pelaburan terbabit mencecah kira-kira RM2.5 bilion, namun jumlah yang berpotensi diperoleh semula mungkin hanya sekitar RM200 juta sekiranya isu itu tidak dapat diselesaikan.
“Pelaburan ini yang tersangkut di mahkamah di Indonesia. Saya telah menulis surat kepada Presiden Prabowo Subianto meminta beliau melihat juga masalah ini.
“Kalau tidak ditangani, RM2.5 bilion ini yang mungkin kita peroleh nanti RM200 juta. Ini satu contoh,” katanya pada Sesi Ramah Mesra Bersama Pengurusan Tertinggi dan Pengurus FELDA, di sini, hari ini.
Difahamkan, dana berkenaan masih belum dapat diperoleh semula oleh FELDA berikutan pertikaian dengan pihak EHP yang masih melalui proses mahkamah di Indonesia.
Anwar berkata pengurusan FELDA di semua peringkat perlu memahami kedudukan kewangan sebenar agensi itu serta cabaran besar yang perlu ditangani dalam usaha memulihkannya.
Beliau berkata penekanan terhadap tatakelola, integriti dan kebertanggungjawaban bukan bertujuan mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan amanah rakyat dilindungi.
Kerajaan, katanya, akan terus membantu proses pemulihan FELDA termasuk mempercepat pelaksanaan projek kebajikan asas, pembaikan perumahan pengurus dan peneroka tanpa perlu menunggu Belanjawan tahun depan.

