Bangunan SK Langkon musnah 95 peratus dalam kebakaran

KOTA MARUDU – Sebuah bangunan dua tingkat menempatkan bilik guru, pejabat am dan stor Sekolah Kebangsaan (SK) Langkon di sini musnah hampir keseluruhannya dalam kebakaran pada malam Sabtu.

Kejadian itu menyebabkan kira-kira 95 peratus bangunan jenis separuh kekal berukuran 80 kaki panjang dan 40 kaki lebar mengalami kemusnahan.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.53 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu digerakkan ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba pada jam 7.09 malam dan mendapati kebakaran melibatkan bilik guru, pejabat am serta stor sekolah.

“Operasi pemadaman dimulakan pada jam 7.10 malam menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan,” menurut kenyataan itu.

JBPM Sabah memaklumkan, sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan lori tangki air bagi memadamkan kebakaran berkenaan.

Katanya, api berjaya dikawal pada jam 7.38 malam sekali gus menghalang kebakaran daripada merebak ke bangunan berhampiran.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja pemadaman sisa kebakaran serta pemeriksaan keselamatan bagi memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.37 malam,” menurut kenyataan itu.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Jakri Bahar bersama Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Deblie Mamoi.

Turut membantu operasi ialah tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum diketahui.

Berita Berkaitan