Rampas kenderaan pemandu mabuk, khayal dadah – Masiung

KOTA KINABALU: Bukan sekadar penjara atau denda, kenderaan pemandu mabuk dan khayal akibat dadah yang menyebabkan kematian atau kecederaan parah juga wajar dirampas serta dilucut hak.

Itu antara cadangan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah, susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) ketika pembentangan Belanjawan 2027, Jumaat lalu.

Masiung berkata, kerajaan perlu mempercepat pindaan berkenaan dengan memasukkan peruntukan hukuman lebih tegas terhadap pemandu yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

Katanya, selain hukuman sedia ada, pesalah juga perlu diwajibkan membayar pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa.

“Selain membayar pampasan, BBC mencadangkan supaya akta itu dipinda dengan lebih tegas bagi membolehkan kenderaan pesalah dirampas dan dilucut hak, khususnya bagi kes membabitkan kematian dan kecederaan parah.

“Jika Malaysia boleh melucutkan hak lori komersial secara kekal kerana membawa muatan berlebihan, adalah adil jika tindakan sama dikenakan terhadap pemandu mabuk atau khayal,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata, pindaan berkenaan perlu memperincikan keadaan yang membolehkan rampasan mandatori dilaksanakan, termasuk terhadap pesalah berulang.

Menurutnya, kenderaan pesalah dicadangkan supaya disita di lokasi kejadian, manakala notis rampasan perlu dikeluarkan kepada pemilik dalam tempoh 48 jam.

“Kes perlu dibawa ke mahkamah dan selepas sabitan, perintah pelucutan hak boleh dikeluarkan, selain lesen memandu pesalah dibekukan,” katanya.

Masiung turut mencadangkan supaya kenderaan yang dilucut hak dipindahkan kepada kerajaan sebelum dilelong selepas tempoh minimum 90 hari.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan itu perlu memberi ruang budi bicara kepada golongan B40, khususnya penunggang motosikal yang melakukan kesalahan pertama dengan tahap alkohol rendah.

Beliau berkata, perlindungan terhadap pemilik kenderaan pihak ketiga yang tidak bersalah, termasuk ibu bapa, majikan dan agensi kerajaan, juga perlu diperincikan.

Berita Berkaitan