Banjir rosakkan jambatan kayu, pembaikan akan disegerakan
KOTA KINABALU: Jambatan kayu yang menghubungkan Kampung Pomotodon, Kampung Tatahan dan Kampung Sinulihan di Inanam akan dibaiki segera selepas terjejas akibat banjir pada 1 Oktober lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Edna Majimbun berkata, tindakan segera perlu diambil memandangkan jambatan berkenaan menjadi antara laluan penting yang digunakan penduduk bagi urusan harian.
Menurutnya, Pejabat ADUN sudah menjalankan pemantauan terhadap keadaan jambatan selain mendapatkan maklum balas penduduk yang bergantung kepada laluan tersebut.
“Kita memahami betapa pentingnya jambatan ini kepada penduduk, khususnya bagi urusan harian mereka.
“Keselamatan masyarakat perlu diberi keutamaan dan perkara ini telah disalurkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan segera,” katanya.
Edna berkata, hasil pemantauan mendapati perkara berkenaan sudah dibawa kepada pihak berkaitan dan proses pembaikan akan disegerakan bagi memastikan keselamatan serta keselesaan penduduk.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dalam membantu masyarakat terjejas akibat banjir.
“Semoga segala urusan pembaikan dan pemulihan dipermudahkan serta penduduk yang terkesan diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

