Sabah perkasa kebajikan inklusif, NGO digesa manfaatkan teknologi AI

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited memperkukuh kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan komuniti bagi memastikan perkhidmatan kebajikan yang inklusif serta saksama dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, kerjasama strategik itu penting dalam menghadapi cabaran sosial yang semakin kompleks, termasuk peningkatan populasi warga emas, jenayah komersial dan keperluan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kebajikan.

Menurutnya, kerajaan turut memberi perhatian terhadap persediaan masyarakat menghadapi perubahan demografi penduduk Sabah, khususnya peningkatan golongan warga emas.

“Melalui forum ini serta perbincangannya, kementerian juga berharap dapat memperluas peranan NGO sebagai rakan strategik bersama Polis Diraja Malaysia untuk membanteras jenayah komersial dan penipuan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bulan Kebajikan dan Forum Jaringan Perkhidmatan Sosial 2026 anjuran Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Selasa.

Program bertemakan ‘Memperkasakan Kebajikan Inklusif ke Arah Kesejahteraan Masyarakat’ itu menetapkan November sebagai bulan tumpuan bagi mempergiatkan aktiviti kebajikan dan kesukarelawanan di seluruh Sabah.

Julita berkata, usaha mempersiapkan masyarakat menghadapi populasi menua turut merangkumi penelitian terhadap Dasar Warga Emas Negara serta inisiatif Bandar Raya Mesra Warga Emas yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Dalam pada itu, beliau menggalakkan NGO memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan, penyediaan laporan dan penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan sasar.

Katanya, penggunaan teknologi berkenaan berpotensi meningkatkan ketelusan operasi serta keyakinan pihak penyumbang dan pendana terhadap pertubuhan kebajikan.

“Ini juga selari dengan peralihan kepada pendekatan program berasaskan bukti bagi menjamin kelestarian kewangan NGO,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri berkata, NGO memainkan peranan penting sebagai rakan strategik kerajaan dalam merapatkan jurang penyampaian perkhidmatan sosial, terutama kepada komuniti yang sukar mendapat akses bantuan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pertubuhan sukarela memperkukuh tadbir urus organisasi, meningkatkan kemahiran sukarelawan serta mengadaptasi teknologi inovatif bagi memastikan perkhidmatan yang lebih berkesan dan mampan.

Forum berkenaan menghimpunkan seramai 230 peserta daripada pelbagai NGO, selain menampilkan gerai pameran oleh organisasi ahli MPMS dan rakan strategik.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan