Ceroboh kebun, warga asing ditahan bersama senapang angin
TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki menceroboh sebuah kebun sambil membawa senapang angin guli buatan sendiri di Batu 15, Jalan Apas Balung, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, suspek dikesan selepas pemilik kebun melihat seorang lelaki tidak dikenali berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pengadu turut mendapati suspek membawa senapang angin guli buatan sendiri selain dipercayai memotong rantai pada pintu pagar kebun.
“Sepasukan anggota dari Balai Polis Bandar Sri Indah yang menjalankan rondaan cegah jenayah pergi ke lokasi sebelum menahan lelaki terbabit yang sedang duduk di bawah pokok dalam kawasan kebun.
“Hasil soal siasat awal, suspek menunjukkan lokasi senapang angin guli buatan sendiri berwarna hijau hitam yang diletakkan di atas kerusi di bawah pokok,” katanya dalam kenyataan.
Wilynton berkata, senjata berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut.
Pemeriksaan turut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata polis akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan awam di Tawau sentiasa terpelihara.

