Cukai jalan mati, Land Cruiser kena sita JPJ
TAWAU: Gara-gara menggunakan cukai jalan yang sudah tamat tempoh, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Land Cruiser disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Tawau dalam operasi penguatkuasaan di Jalan Chong Thien Vun, di sini, Rabu.
Kenderaan bernombor pendaftaran VJA300W itu dikesan ketika anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.
JPJ Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan terperinci mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan SUV berkenaan sudah tamat tempoh.
Susulan itu, tindakan tegas diambil apabila kenderaan terbabit disita serta-merta sebelum ditunda ke Pejabat JPJ Cawangan Tawau untuk siasatan lanjut.
“Notis sitaan rasmi dan saman turut dikeluarkan kepada pemandu serta pemilik kenderaan berkenaan atas kesalahan yang dikesan,” menurut kenyataan itu.
JPJ menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan semua kenderaan yang digunakan di jalan raya mempunyai dokumen sah serta mematuhi peraturan ditetapkan.
“Operasi penguatkuasaan undang-undang jalan raya akan terus diperketatkan dari semasa ke semasa tanpa kompromi demi menjamin keselamatan komuniti dan pengguna jalan raya di daerah Tawau,” menurut kenyataan itu.
JPJ turut mengingatkan pemilik kenderaan supaya memastikan cukai jalan sentiasa diperbaharui sebelum tamat tempoh bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
— SABAH NEWS TODAY

