Sabah mahu jadi lokasi pertama loji nuklear terapung negara

KOTA KINABALU: Ketika masalah bekalan elektrik masih membelenggu Sabah, negeri itu kini dicadangkan menjadi lokasi pertama pembangunan loji tenaga nuklear terapung di Malaysia.

Cadangan berani itu disuarakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah yang mahu kerajaan negeri dan Persekutuan segera meneroka potensi teknologi berkenaan.

Masiung berkata, sudah tiba masanya Malaysia melangkah ke era pembangunan tenaga nuklear bagi memastikan negara tidak terus bergantung kepada sumber tenaga konvensional.

“Keupayaan bekalan tenaga elektrik di negeri ini semakin meruncing dan masih jauh untuk mengimbangi kemajuan utiliti di Semenanjung,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, penggunaan Loji Tenaga Nuklear Terapung (Floating Nuclear Power Plant – FNPP) boleh menjadi antara pilihan strategik untuk Sabah yang mempunyai garis pantai luas.

Katanya, teknologi itu berpotensi menawarkan kos lebih fleksibel, tempoh pembinaan lebih pantas serta risiko pembinaan yang lebih terkawal berbanding loji nuklear konvensional di daratan.

“BBC melihat kerajaan Sabah harus bersedia menghadapi lonjakan permintaan tenaga elektrik menjelang 2031 serta mengurangkan kebergantungan kepada gas asli dan diesel,” katanya.

Masiung berkata, ketidaktentuan pasaran bahan api dunia, termasuk pergolakan geopolitik di Selat Hormuz, menjadi peringatan bahawa negara memerlukan strategi bekalan tenaga lebih kukuh.

Beliau turut menegaskan bahawa pergantungan berterusan kepada arang batu dan gas asli bukan penyelesaian terbaik untuk jangka panjang, terutama apabila sebahagian sumber itu perlu diimport.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan menyatakan Sabah dan Semenanjung Malaysia antara pilihan paling praktikal bagi pembangunan loji nuklear dalam dekad akan datang sekiranya cadangan itu diluluskan.

Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut mahu cadangan berkenaan dibawa ke meja rundingan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, pembangunan tenaga nuklear bukan sahaja berpotensi menangani masalah kekurangan bekalan elektrik di Sabah, malah membantu negara mengurangkan pelepasan karbon secara besar-besaran.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan