Dahulukan keperluan rakyat, bukan bergantung kepada pengorbanan individu – Shafie
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa kerajaan kembali memberi fokus kepada penyediaan kemudahan asas bagi memastikan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman, mendapat akses yang lebih baik kepada pendidikan dan perkhidmatan asas.
Beliau berkata, kisah guru sukarela Cikgu Asneh Kayak yang sanggup meredah hutan, menyeberangi sungai dan mendaki bukit hampir empat jam setiap hari demi mendidik anak-anak Sabah menunjukkan masih wujud jurang pembangunan yang perlu diberi perhatian.

Menurutnya, rakyat tidak seharusnya bergantung kepada pengorbanan individu untuk menikmati hak yang sepatutnya disediakan oleh kerajaan.
Katanya, penyediaan jalan, jambatan, bekalan air, elektrik dan kemudahan asas perlu menjadi keutamaan, di samping memastikan setiap ringgit peruntukan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sebagai mengulas kisah pengorbanan Cikgu Asneh yang dilaporkan Sabah News Today (SNT) dan mendapat perhatian meluas di media sosial.

