DVS Sabah audit 17 syarikat ayam di Thailand
KOTA KINABALU : Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah sedang melaksanakan audit terhadap 17 syarikat dan kilang ternakan ayam di Thailand bagi memastikan produk yang dibekalkan ke negeri ini mematuhi pensijilan halal serta piawaian keselamatan makanan ditetapkan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, beliau turut berkesempatan mengikuti proses audit DVS di Syarikat Betagro, Thailand, kelmarin.
Menurutnya, proses berkenaan penting bagi memastikan setiap syarikat dan kilang yang membekalkan produk ayam ke Sabah mematuhi semua prosedur, khususnya berkaitan aspek halal, kebersihan dan keselamatan makanan.
“Proses audit ini penting bagi memastikan syarikat dan kilang yang membekalkan produk ayam ke Sabah mematuhi keperluan ditetapkan, termasuk aspek pensijilan halal serta keterjaminan makanan yang bersih dan selamat,” katanya.
Jamawi berkata, Betagro mempunyai kapasiti sembelihan secara halal sehingga 600,000 ekor ayam sehari dengan operasi kilang selama 16 jam.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Sabah mengimport lebih 45 juta kilogram ayam keratan termasuk sayap, paha dan dada sepanjang 2025 dengan nilai pasaran kira-kira RM450 juta.
Katanya, bagi enam bulan pertama tahun ini pula, purata 200 kontena ayam keratan sejuk beku dari Thailand diimport ke Sabah setiap bulan.
Menurut Jamawi, jumlah berkenaan menunjukkan terdapat potensi besar untuk industri ternakan ayam tempatan diperkembangkan bagi mengurangkan kebergantungan Sabah terhadap bekalan import.
Beliau berkata, antara langkah yang boleh diberi perhatian ialah membuka kawasan baharu untuk penanaman jagung bijirin bagi membantu mengurangkan kos makanan ternakan ayam.
“Saya yakin potensi lebih besar untuk ternakan ayam di Sabah diperbesarkan dengan membuka kawasan-kawasan baharu bagi penanaman jagung bijirin untuk mengurangkan kos makanan ternakan ayam kelak.
“Satu gerak kerja yang bukan mudah, tetapi insya-Allah boleh dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak,” katanya.

