7,095 mahasiswa baharu IPTA dapat bantuan tiket penerbangan RM500

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan bantuan khas pembelian tiket penerbangan domestik secara sekali beri sebanyak RM500 kepada setiap pelajar baharu institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang layak bagi kemasukan September dan Oktober tahun ini. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan itu meliputi pelajar baharu universiti awam, politeknik dan kolej komuniti yang perlu menggunakan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan untuk memulakan pengajian. Bernama melaporkan 7,095 pelajar bakal mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan. 

Pengumuman itu dibuat Anwar ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam 16 Sept. 

Menurut Anwar, bantuan berkenaan diputuskan selepas perbincangan dengan Menteri Pengangkutan dan Menteri Pendidikan Tinggi. 

Inisiatif itu diumumkan bersama beberapa langkah kerajaan lain, termasuk penambahbaikan BUDI MADANI Diesel dan perkara berkaitan pemberian khas kepada Sarawak. 

Berita Berkaitan