Ekonomi kreatif buka peluang pelajar jana pendapatan
TAWAU: Pelajar berbakat dalam bidang seni dan persembahan berpeluang menjadikan kemahiran mereka sebagai sumber pendapatan serta kerjaya masa depan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, potensi itu selari dengan usaha kerajaan negeri memperkukuh sektor ekonomi kreatif di Sabah.
Katanya, bakat nyanyian, seni persembahan dan kreativiti lain perlu diberi bimbingan supaya dapat dikembangkan secara profesional.
“Kita mahu anak-anak menggunakan bakat mereka untuk menjana pendapatan sendiri dan tidak hanya bergantung kepada pekerjaan makan gaji,” katanya.
Nizam berkata kementeriannya sedang menyusun struktur ekonomi kreatif bagi memberi lebih banyak peluang kepada golongan muda.
Program ANGGERIK yang diperkenalkan sejak 2023 turut menjadi platform mengetengahkan kecemerlangan serta bakat pelajar di Tawau.

