10 ditahan, Maritim Sandakan rampas lebih RM508,000
SANDAKAN: Seramai 10 individu ditahan, manakala pelbagai barangan bernilai lebih RM508,000 dirampas dalam empat kes penguatkuasaan berasingan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Sandakan di perairan dan sekitar daerah ini, Rabu lalu.
Operasi berkenaan membabitkan tiga bot nelayan tempatan, sebuah bot pancung dan sebuah premis di Kampung Seng Kee, dekat sini.
Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, antara barangan dirampas ialah hasil laut, minyak diesel, tong gas petroleum cecair (LPG), bot serta peralatan berkaitan.
Katanya, dalam kes pertama, sebuah bot nelayan tempatan ditahan kira-kira jam 2.50 pagi selepas pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong warga Malaysia bersama dua awak-awak bukan warganegara.
“Pemeriksaan turut menemukan hasil laut dianggarkan seberat 50 kilogram,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, sebuah lagi bot nelayan tempatan ditahan pada jam 3.14 pagi dengan seorang tekong warga Malaysia dan seorang awak-awak bukan warganegara.
Pemeriksaan menemukan kira-kira satu tan hasil laut, lima tong LPG berkapasiti 14 kilogram setiap satu serta dokumen dan peralatan berkaitan.
“Dalam kes ketiga, sebuah bot nelayan tempatan ditahan pada jam 3.30 pagi dengan seorang tekong warga Malaysia bersama tiga awak-awak, termasuk seorang bukan warganegara.
“Bot berkenaan turut membawa kira-kira satu tan hasil laut, lima tong LPG berkapasiti 14 kilogram setiap satu serta peralatan berkaitan,” katanya.
750 liter diesel dirampas
Muhamad Suhairy berkata, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran dan sebuah premis di Kampung Seng Kee.
Katanya, pemeriksaan menemukan 25 tong jerikan berkapasiti 30 liter setiap satu yang mengandungi keseluruhan 750 liter minyak diesel.
“Turut dirampas sebuah bot pancung bersama enjin sangkut Yamaha berkuasa 250 kuasa kuda.
“Nilai rampasan bagi kes ini dianggarkan RM51,952.50,” katanya.
Beliau berkata, nilai rampasan bagi tiga bot nelayan tempatan pula dianggarkan RM456,400, menjadikan jumlah keseluruhan bagi empat kes berkenaan sebanyak RM508,352.50.
Katanya, 10 individu ditahan bagi membantu siasatan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Akta Imigresen 1959/63, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Pelabuhan-Pelabuhan Sabah 2002.
“Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang serta memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999.

