PPM rampas rokok tidak bercukai bernilai RM167,520

TENOM: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 134,600 batang rokok disyaki tidak bercukai bernilai lebih RM167,520 dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Amboi, di sini, semalam.

Serbuan kira-kira jam 8.20 pagi yang dijalankan bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) IPD Tenom mendapati seorang lelaki yang dipercayai menjaga stor melarikan diri ke kawasan kebun getah berhampiran.

Pemeriksaan menemukan pelbagai jenama rokok yang dipercayai tidak bercukai sebelum semuanya dirampas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata, sehingga 30 Julai, pasukan itu merekodkan 44 kes di bawah Akta Kastam 1967 melibatkan 30 tangkapan dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan RM6.21 juta.

Berita Berkaitan