36 tahun menanti, emas akhirnya milik Malaysia!

NAGOYA: Penantian panjang 36 tahun akhirnya berakhir apabila skuad sepak takraw negara menumbangkan musuh tradisi, Thailand 2-0 untuk meraih pingat emas acara regu berpasukan lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Kejayaan penuh dramatik di Paloma Mizuho Arena itu menyaksikan Malaysia mengulangi pencapaian Sukan Asia Beijing 1990, kali terakhir negara meraih emas acara berkenaan.

Regu pertama dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias membuka langkah kanan apabila menewaskan Marukin Phanmakon, Phutawan Sopa dan Pornthep Tinbangbon 15-9, 5-15, 15-11.

Tekanan kemudian beralih kepada regu kedua negara, namun Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi tampil tenang.

Trio negara tidak memberi ruang kepada Thailand untuk bangkit apabila menamatkan cabaran Kritsanapong Nontakote, Tanaphon Sapyen dan Wuttinu Kamsanor 15-13, 15-10 sekali gus mengesahkan kemenangan 2-0 buat Malaysia.

Kejayaan itu turut menghadiahkan emas keempat kepada kontinjen negara pada temasya berkenaan.

Lebih manis, kemenangan tersebut hadir selepas kem negara berdepan masalah kecederaan beberapa pemain sebelum berangkat ke Nagoya.

Azlan mengakui kemenangan bersih ke atas Thailand sukar dipercayai selepas segala cabaran yang dilalui pasukan.

“Sudah lama, 36 tahun. Lebih lama daripada zaman jurulatih kami. Jadi 2026 ini mencipta sejarah untuk generasi kami. Alhamdulillah,” katanya.

Malaysia bagaimanapun belum selesai apabila skuad sepak takraw negara masih mempunyai misi dalam acara regu selepas ini.

Berita Berkaitan