Aksi panas di Likas, pergaduhan cemari kemenangan Sabah FC
KOTA KINABALU: Aksi Liga Super antara Sabah FC dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Likas bertukar panas apabila insiden pergaduhan tercetus pada penghujung babak pertama, sebelum pasukan tuan rumah mencatat kemenangan 2-0.
Ketegangan memuncak selepas pemain TFC, Romel Morales, melakukan kekasaran terhadap pemain Sabah, termasuk menjatuhkan penjaga gol, Juan Flere, sehingga terbaring kesakitan di atas padang.
Insiden itu mencetuskan kekecohan antara pemain kedua-dua pasukan dan memaksa pengadil, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah, mengambil tindakan tegas.
Selepas semakan menerusi sistem Video Bantuan Pengadil (VAR), pengadil mengekalkan keputusan melayangkan kad merah terhadap Morales, sekali gus memaksa TFC meneruskan baki perlawanan dengan 10 pemain.
Sebelum insiden panas itu, Sabah FC sudah mendahului 2-0 menerusi jaringan Enrique Lopez Fernandez pada minit ke-19 dan Gonzalo Ignacio Di Renzo pada minit ke-24.
Gol pembukaan Sabah berpunca daripada kesilapan benteng pertahanan TFC apabila penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin, gagal mengawal bola ketika cuba menyelamatkan keadaan.
Walaupun memiliki kelebihan seorang pemain sepanjang babak kedua, skuad Sang Badak gagal menambah jaringan dan keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat.
Perlawanan yang berlangsung dalam keadaan padang basah itu turut menyaksikan sepak mula ditangguhkan kira-kira 30 minit daripada jadual asal 5 petang susulan hujan lebat di Kota Kinabalu.
Kemenangan itu membolehkan Sabah FC meraih tiga mata penuh, namun insiden pergaduhan dan kad merah Morales menjadi antara tumpuan utama perlawanan.
— SABAH NEWS TODAY

