362 mangsa banjir masih berlindung di PPS di Tawau
KOTA KINABALU: Seramai 362 mangsa daripada 102 keluarga masih ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Tawau setakat jam 4 petang ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah itu meningkat berbanding 335 mangsa daripada 96 keluarga yang direkodkan pada sebelah pagi.
Semua mangsa ditempatkan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau dan melibatkan penduduk dari Kampung Tanjung Batu Keramat, Kampung Tanjung Batu Darat, Kampung Tanjung Batu Otentik serta Kampung Kinabutan Tiku Batu 6.
Menurut kenyataan itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Banjir berlaku susulan hujan berterusan sejak Jumaat, manakala operasi pemantauan oleh agensi penyelamat diteruskan walaupun beberapa kawasan kampung menunjukkan trend penurunan paras air.

