Shahelmey seru penduduk jadi ‘mata dan telinga’ kerajaan
PUTATAN: Masyarakat kampung diseru supaya terus menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan dengan melaporkan sebarang isu berkaitan keselamatan, infrastruktur dan kemudahan awam demi memastikan persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata, peranan wakil masyarakat, ketua kampung dan penduduk amat penting dalam membantu kerajaan mengenal pasti permasalahan setempat agar tindakan segera dapat diambil oleh jabatan serta agensi berkaitan.

Katanya, usaha meningkatkan kesejahteraan kampung memerlukan kerjasama semua pihak tanpa mengira latar belakang.
“Kita mahu semua berganding bahu dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing menjaga serta mensejahterakan kampung yang didiami.
“Akar umbi sama ada wakil masyarakat, ketua kampung atau penghuninya dialu-alukan menjadi mata dan telinga kita supaya persekitaran kampung terus dipertingkatkan secara selesa, selamat dan selaras dengan arus kemodenan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Walkabout sempena Jom Ronda Skim Rondaan Sukarela Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Petagas Bersama Pimpinan 2026 di Kampung Sekambu, Petagas, malam Sabtu.
Menurut beliau, hasil tinjauan mendapati beberapa perkara memerlukan perhatian termasuk lampu jalan yang rosak dan cadangan pembinaan pos KRT bagi memperkukuh aspek keselamatan penduduk.
Beliau berharap program seumpama itu diteruskan pada masa akan datang kerana ia bukan sahaja membantu mengenal pasti isu di peringkat akar umbi, malah mengukuhkan kerjasama antara masyarakat dan kerajaan dalam membangunkan kawasan perkampungan.

