60 pesakit katarak terima manfaat SINAR4U 2026

KENINGAU – Seramai 60 pesakit menerima manfaat menerusi Program SINAR4U 2026, inisiatif pembedahan katarak anjuran bersama Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dan Hospital Keningau, baru-baru ini.

HUMS dalam kenyataan memaklumkan, program yang dilaksanakan di Hospital Keningau itu merupakan sebahagian usaha mendekatkan perkhidmatan kesihatan dan kepakaran kepada masyarakat di Sabah.

Menurutnya, SINAR4U yang memasuki tahun ketiga sejak diperkenalkan pada 2024 telah memberi manfaat kepada keseluruhan 121 pesakit.

“Program tahun ini turut menyaksikan kerjasama rentas institusi dengan penglibatan pakar bedah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan College of Ophthalmologists, Academy of Medicine of Malaysia (COAMM).

“Kolaborasi ini mencerminkan komitmen pelbagai institusi dalam menghimpunkan kepakaran dan sumber bagi membawa perkhidmatan kesihatan berkualiti lebih dekat kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Selain rawatan dan pembedahan katarak, program berkenaan membantu pesakit mendapatkan kembali penglihatan sekali gus meningkatkan keupayaan mereka menjalani kehidupan dengan lebih berdikari dan yakin.

HUMS turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja, penyumbang, rakan strategik, pakar perubatan, petugas kesihatan, urus setia serta sukarelawan yang menyumbang kepakaran, sumber, masa dan tenaga bagi menjayakan program berkenaan.

Menurut kenyataan itu, kejayaan SINAR4U 2026 menjadi pemangkin kepada HUMS untuk meneruskan serta memperluaskan inisiatif tersebut supaya lebih ramai masyarakat Sabah mendapat akses kepada rawatan katarak pada masa hadapan.

Berita Berkaitan