10,000 liter diesel tanpa dokumen dirampas di Sandakan

SANDAKAN: Maritim Malaysia menahan sebuah bot tunda yang membawa kira-kira 10,000 liter minyak diesel dipercayai tanpa dokumen atau kebenaran sah di perairan Sandakan.

Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot berkenaan dikesan pasukan operasi ketika sedang bergerak sebelum dihentikan untuk pemeriksaan.

Menurutnya, dua lelaki tempatan berusia 36 dan 39 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kesemua 10,000 liter minyak diesel bersama bot tunda berkenaan yang dianggarkan bernilai RM552,000 telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya. 

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau menyimpan barangan kawalan berjadual tanpa kebenaran.

Siasatan turut dijalankan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 berhubung kegagalan mengemukakan insurans P&I serta jumlah kru yang tidak mencukupi seperti ditetapkan dalam lesen. 

Berita Berkaitan