BN Sabah perlu pertahan kerajaan negeri secara bersama, kata Salleh
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah perlu memikul tanggungjawab bersama mempertahankan dasar, keputusan serta kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak berkata, sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri, BN mempunyai tanggungjawab politik kolektif untuk memastikan pentadbiran kekal stabil, berkesan dan terus mendapat keyakinan rakyat.
“Apabila kita bersama dalam kerajaan, kita juga mesti bersama mempertahankan kerajaan dan memastikan ia kekal stabil, berkesan serta terus mendapat kepercayaan rakyat,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Kinabalu di Grand InHotel, di sini.
Salleh berkata, BN Sabah perlu memainkan peranan konstruktif dalam memperkukuh kerajaan negeri serta menyokong usaha menyampaikan pembangunan dan menangani isu yang dihadapi rakyat.
Beliau berkata, kestabilan politik amat penting bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat.
Pada masa sama, beliau berkata kerjasama antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu terus diperkukuh berasaskan sikap saling menghormati serta kepentingan Sabah.

