Penduduk Pitas rayu JKR baiki parkir Hospital Daerah Pitas
PITAS: Penduduk di daerah ini menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan segera membaiki jalan berlubang di kawasan parkir Hospital Daerah Pitas yang didakwa telah terbiar sejak beberapa bulan lalu.
Rayuan itu disuarakan seorang penduduk dikenali sebagai Oh Mow menerusi satu hantaran di TikTok, dengan harapan pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah berkenaan demi keselamatan pengguna.
Menurutnya, keadaan jalan yang rosak bukan sahaja menyukarkan orang ramai, malah berisiko menyebabkan kerosakan kepada kenderaan yang menggunakan kawasan parkir hospital itu.
“Tolong JKR Pitas tampal jalan berlubang dalam kawasan hospital ini. Nanti YB Pitas kasi juga itu peruntukan.
“Kesian bah kereta kami termasuk dalam lubang di kawasan parkir Hospital Pitas ini,” katanya.
Beliau berharap JKR Pitas dapat turun padang bagi menilai keadaan sebenar dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan secepat mungkin bagi memastikan kemudahan awam itu selamat digunakan oleh pesakit, pelawat dan kakitangan hospital.

