Empat penjawat awam antara tujuh ditahan kes import ayam haram di Sabah

KUALA LUMPUR: Empat penjawat awam antara tujuh individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit dalam sindiket mengimport ayam sejuk beku secara tidak sah ke Sabah.

Menurut sumber, sindiket itu dipercayai turut melibatkan elemen rasuah membabitkan pegawai pihak berkuasa di sebuah pelabuhan di negeri ini bagi melancarkan kemasukan bekalan berkenaan.

Kesemua tujuh individu direman sehingga 15 Ogos selepas permohonan SPRM dibenarkan Majistret Marilyn Kelvin di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.

Menerusi Ops Chick, Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dan Kastam Sabah menyita 10 kontena ayam sejuk beku yang dipercayai diimport secara tidak sah dari China dan Poland.

Siasatan awal mendapati kontena berisi ayam berkenaan dipercayai diisytiharkan secara tidak benar serta tidak melalui proses pemeriksaan ditetapkan.

Sebelum ini, tiga lelaki berusia lingkungan 30-an hingga 50-an yang dipercayai bertindak sebagai ejen penghantaran dan pengurus syarikat turut ditahan dalam siasatan sindiket berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Berita Berkaitan