Gangguan air jejas hotel, peniaga KK
KOTA KINABALU: ADUN Likas, Tham Yun Fook menggesa kerajaan Sabah mengambil tindakan segera menangani gangguan bekalan air berpanjangan yang didakwa menjejaskan operasi hotel dan perniagaan di beberapa kawasan utama Kota Kinabalu.
Tham berkata, berdasarkan maklum balas Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Sabah dan Labuan serta peniaga, kawasan terjejas termasuk Segama, Kampung Air, Wisma Merdeka dan Suria Sabah.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sesetengah pengusaha hotel berdepan pembatalan tempahan selain menanggung kerugian operasi.
Beliau berkata isu berkenaan sudah dibangkitkan kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti dan mencadangkan supaya menteri bersama Pengarah Jabatan Air turun padang melihat sendiri keadaan.
Menurut maklum balas diterimanya, kebocoran paip serta gangguan elektrik di Loji Rawatan Air Moyog antara faktor yang memburukkan masalah bekalan, manakala kerja pemulihan sedang dilaksanakan.
“Rakyat memahami keperluan untuk menjalankan kerja pembaikan kecemasan, tetapi kerajaan perlu menangani isu asas seperti infrastruktur bekalan air yang semakin berusia, penyelarasan pengurusan dan mekanisme tindak balas kecemasan,” katanya.
Tham berkata masalah itu tidak boleh terus berulang terutama ketika sektor pelancongan Sabah sedang berkembang kerana bekalan air stabil merupakan antara keperluan asas kepada penduduk, perniagaan dan industri pelancongan.

