Danish Iftikhar pertahan emas 100m, buru rekod SUKMA
SERDANG: Pelari pecut Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee berjaya mempertahankan pingat emas acara 100 meter (m) lelaki pada SUKMA Selangor 2026 selepas mencatat masa terbaik musim ini, 10.27 saat.
Atlet berusia 19 tahun itu mengakui berdepan tekanan lebih besar berbanding penampilan sulungnya pada SUKMA Sarawak 2024, namun berjaya mengawal emosi termasuk selepas berlaku kesalahan permulaan sebelum perlumbaan dimulakan semula.
Muhammad Umaira Subri dari Kedah meraih perak dengan catatan 10.31s, manakala Muhammad Dzul Danish Jamari membawa pulang gangsa menerusi catatan 10.37s.
Selepas mempertahankan emas, Danish kini menyasarkan untuk memecahkan rekod SUKMA 10.18s milik Khairul Hafiz Jantan yang bertahan sejak 2016.
“Saya masih ada satu lagi SUKMA. Insya-Allah, kalau diberikan peluang dan kemudahan untuk melakukan yang terbaik, saya akan beri yang terbaik,” katanya.
Danish seterusnya akan memberi tumpuan kepada acara 4x100m sebelum turun dalam saingan 200m.

