Sabah-Ekonomi Karbon
Sabah Tetap Visi Jadi Negeri Bernilai Karbon
Kota Kinabalu- Sabah berhasrat memanfaatkan status sebagai negeri negatif karbon menjadi negeri bernilai karbon menerusi penukaran modal semula jadi kepada nilai ekonomi mampan, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Zainudin Aman.
Beliau berkata kurniaan modal semula jadi seperti aset hutan hujan tropika, kawasan bakau dan sumber marin yang kaya di negeri itu perlu diterjemahkan secara nyata kepada penciptaan peluang pekerjaan serta peningkatan pendapatan masyarakat setempat.
“Sabah bukan sahaja mahu menjadi negeri negatif karbon malah mahu menjadi negeri bernilai karbon, iaitu sebuah negeri yang mampu menukar kekayaan alam semula jadi kepada nilai ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Zainudin berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kelestarian dan Ekonomi Karbon Sabah di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) Datuk Seri Hashim Paijan.
Beliau berkata agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negeri turut diselaraskan dengan komitmen Malaysia untuk mencapai sasaran Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050 serta pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45 peratus menjelang 2030.
Beliau menggesa semua pegawai kerajaan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah untuk menyertai program pendedahan ESG anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan SEDIA bagi memperkukuh pemahaman pengurusan karbon.
Selain itu, Zainudin berkata potensi pembangunan kredit karbon negeri boleh diperkasakan menerusi penyelesaian berasaskan alam semula jadi seperti restorasi bakau, pemuliharaan hutan dan projek agroperhutanan.
“Selain ekonomi karbon, Sabah berpotensi besar untuk menjadi peneraju Ekonomi Biru di rantau ASEAN menerusi pembangunan bioteknologi marin, akuakultur mampan dan pelancongan berasaskan ekosistem laut,” katanya.
Beliau berkata penglibatan rakan strategik antarabangsa serta penerokaan instrumen kewangan iklim seperti Bon Hijau dan Bon Biru akan mempercepat transformasi negeri sebagai destinasi utama pelaburan mampan.

