JPM salur bantuan awal kepada mangsa kebakaran Pulau Nunuyan
SANDAKAN: Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyalurkan bantuan awal kepada 29 ketua isi rumah yang terjejas dalam kebakaran di Pulau Nunuyan Laut, di sini, semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM mengambil tindakan segera bagi membantu meringankan beban mangsa termasuk menyediakan kerusi roda kepada warga emas yang memerlukan.
“Kita meminta pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan agensi berkaitan untuk duduk bersama meneliti segala keperluan mangsa.
“Saya juga memohon agar infrastruktur asas yang rosak seperti jeti yang melibatkan anak-anak ke sekolah agar MPS usul kepada ICU untuk diperbaiki segera,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kebakaran bersama Presiden MPS, Datuk Walter Kenson, hari ini.
Mustapha berkata kerajaan tidak mahu rutin harian anak-anak yang berulang-alik ke sekolah terjejas akibat musibah berkenaan.
Sementara itu, Walter berkata MPS akan menggerakkan Jabatan Luar Bandar bagi meneliti tindakan terbaik termasuk kemungkinan merancang penempatan semula mangsa ke kawasan yang lebih sesuai, termasuk rizab kampung.
Menurutnya, pihak MPS juga akan berbincang dengan dua pemilik tanah persendirian yang diduduki mangsa kebakaran kerana kawasan penempatan berkenaan melibatkan dua lot tanah atau geran persendirian.
Katanya, perancangan jangka panjang turut meliputi penyediaan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jeti bagi memastikan kebajikan penduduk terus terjamin.
Semalam, 28 rumah musnah dalam kebakaran kira-kira jam 3 pagi di Kampung Nunuyan Laut, Pulau Nunuyan Laut, menyebabkan lebih 100 mangsa kehilangan tempat tinggal.

