Masiung gesa kawalan pintu masuk Sabah diperketat bendung dadah ‘blackout’
KOTA KINABALU: Pihak berkuasa digesa memperketat kawalan di semua pintu masuk Sabah bagi menghalang kemasukan dadah sintetik baharu dikenali sebagai “blackout” atau “zombi”, kata ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Beliau berkata walaupun setakat ini belum ada laporan kes membabitkan bahan itu di Sabah, langkah pencegahan perlu dilakukan lebih awal.
Menurutnya, PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) perlu meningkatkan pemantauan di pintu masuk serta kawasan sempadan.
Masiung berkata berdasarkan laporan AADK yang dirujuknya, dadah berkenaan didakwa 100 kali lebih kuat daripada morfin dan sudah dikesan memasuki pasaran gelap di negara ini.
“Cecair terlarang itu bukan sahaja boleh dijadikan perisa vape, tetapi turut dicampurkan dalam minuman atau makanan selain dititiskan pada batang rokok sebelum disedut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata penggunaan bahan itu dalam dos tinggi boleh menyebabkan pengguna terlalu khayal, pasif dan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, bahan berkenaan turut dikaitkan dengan campuran ketamin dan bahan psikotropik yang boleh memberi kesan serius terhadap sistem saraf serta fizikal.
Masiung tidak menolak kemungkinan dadah sintetik itu diproses atau diedarkan oleh sindiket antarabangsa dan tempatan untuk pasaran gelap.
Katanya, sindiket mungkin menggunakan pelbagai kaedah termasuk laluan laut dan udara, penghantaran pos serta platform dalam talian untuk mengelakkan pengesanan pihak berkuasa.
Beliau berkata penguatkuasaan awal penting bagi memastikan ancaman dadah sintetik baharu itu tidak menular ke Sabah.

