Enam perhentian baharu laluan Sembulan-Kinarut mula operasi Oktober
KOTA KINABALU: Enam perhentian kecil kereta api baharu di sepanjang laluan Sembulan-Kinarut siap dibina dan dijangka mula beroperasi Oktober ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ewon Benedick.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata perhentian itu ialah Lok Kawi, Tombovo, Meruntum, Bukit Vor, Petagas dan Tugu Peringatan Petagas.
“Setakat ini, enam perhentian kecil telah siap dibina dan terdapat beberapa lagi perhentian yang sedang dalam pertimbangan untuk dibangunkan,” katanya selepas merasmikan Program Hari Kereta Api Ke-130 Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) di Stesen Tanjung Aru.
Menurutnya, penambahan perhentian itu membolehkan penduduk menggunakan perkhidmatan kereta api dari lokasi lebih dekat dengan kediaman tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada stesen utama.
Katanya, ia juga menyediakan alternatif pengangkutan awam kepada rakyat ketika kos menggunakan kenderaan persendirian termasuk bahan api terus menjadi cabaran.
“Kita mahu perkhidmatan kereta api lebih mudah diakses, praktikal dan dekat dengan rakyat,” katanya.
Ewon turut menantikan hasil kajian cadangan memperluaskan rangkaian kereta api dari Putatan ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) termasuk Pelabuhan Sepanggar.
Katanya, peluasan itu berpotensi memberi manfaat bukan sahaja kepada penumpang, malah sektor industri dan logistik menerusi pengangkutan produk dari taman perindustrian ke pelabuhan.

