71,000 pemilik kenderaan Sabah belum mohon tambahan kuota BUDI Diesel

KOTA KINABALU: Kira-kira 71,000 pemilik kenderaan di Sabah yang layak menerima tambahan kuota 100 liter di bawah BUDI Diesel masih belum mengemukakan permohonan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, daripada kira-kira 120,000 pemilik kenderaan yang layak, hanya sekitar 49,000 telah membuat permohonan setakat ini.

Menurutnya, pemilik yang layak perlu memanfaatkan terlebih dahulu tambahan kuota 100 liter itu bagi membolehkan kerajaan menilai keperluan sebenar sebelum mempertimbangkan sebarang penambahan kuota pada masa depan.

“Jadi kita harapkan baki yang belum membuat permohonan itu dapat mendaftarkan kenderaan mereka supaya boleh guna tambahan 100 liter tersebut dan barulah kita boleh lihat berapa kuota sebenarnya yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Program MADANI Kita Bersama Komuniti Darau @ Sepanggar, di sini, hari ini.

Mustapha berkata kerajaan turut menerima permintaan daripada peniaga dan syarikat supaya kuota diesel bagi kategori kenderaan tertentu ditambah dan perkara itu kini dalam penelitian Kementerian Kewangan.

Katanya, kerajaan juga mendapatkan pandangan pelbagai pihak mengenai pelaksanaan BUDI Diesel dan kajian terperinci akan dilakukan sebelum langkah seterusnya diumumkan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kira-kira 120,000 pemilik kenderaan pacuan empat roda termasuk trak pikap dan jip di Sabah layak memohon tambahan kuota 100 liter BUDI Diesel susulan peluasan kelayakan.

Kerajaan juga dijangka mengumumkan beberapa penambahbaikan terhadap pelaksanaan BUDI Diesel dalam tempoh satu hingga dua bulan, khususnya berkaitan proses permohonan dan syarat kelayakan.

Berita Berkaitan