Restoran hotel musnah terbakar, seorang lelaki melecur

SEMPORNA: Sebuah restoran di Hotel Pacific Semporna musnah 100 peratus dalam kebakaran tengah hari tadi, manakala seorang lelaki cedera melecur di lengan.

Panggilan kecemasan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah pada jam 12.47 tengah hari sebelum pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna tiba lima minit kemudian.

Komander Operasi, PBK I Asmaraie Noordanig berkata, kebakaran membabitkan restoran jenis separuh kekal berkeluasan 30 kaki x 40 kaki.

“Bangunan Wave View Hotel berhampiran turut terkena bahangan kira-kira 20 peratus.

“Pasukan bomba memadam kebakaran dari dua arah iaitu darat dan laut,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.47 tengah hari.

Menurut pekerja hotel, seorang lelaki mengalami kecederaan melecur di lengan dan dibawa ke Hospital Semporna sebelum pasukan bomba tiba.

Seramai 29 anggota daripada BBP Semporna dan BBP Air Semporna terbabit dalam operasi itu.

Operasi ditamatkan pada jam 4.11 petang selepas keadaan dipastikan selamat.

Berita Berkaitan