50,000 rakyat meriahkan sambutan Hari Kebangsaan di Sabah

KOTA KINABALU: Kira-kira 50,000 rakyat membanjiri pusat bandar raya ini seawal pukul 6 pagi bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2026.

Kehadiran masyarakat daripada pelbagai kaum dan latar belakang mewujudkan suasana penuh warna-warni, dengan orang ramai turut membawa anak-anak serta mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang acara berlangsung.

Sorakan dan tepukan gemuruh kedengaran setiap kali kontinjen melintasi laluan perarakan.

Sebanyak 179 kontinjen mengambil bahagian membabitkan pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform, sektor swasta serta pertubuhan masyarakat.

Pelbagai persembahan dan formasi kreatif turut dipamerkan oleh peserta perarakan, sekali gus mencerminkan kepelbagaian dan keharmonian masyarakat Sabah.

Sambutan itu bukan sahaja menjadi acara tahunan, malah turut menjadi wadah menyemai semangat cinta kepada negara, menghargai keamanan serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama Toh Puan Faridah Tussin turut hadir memeriahkan sambutan.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama Datin Seri Juliah Salag.

Berita Berkaitan