‘Hari ini BERSIH, esok siapa?’ Chin persoal sekatan masuk Sabah

KOTA KINABALU: ADUN Kapayan Chin Tek Ming mempersoalkan tindakan menyekat beberapa pemimpin dan pegawai BERSIH daripada memasuki Sabah serta menuntut kerajaan negeri menjelaskan siapa yang membuat keputusan tersebut.

Menurut Chin, tindakan terhadap beberapa individu daripada organisasi sama menimbulkan persoalan sama ada kuasa imigresen Sabah sedang digunakan untuk menyekat suara masyarakat sivil.

Beliau merujuk kepada sekatan terhadap Pengarah Eksekutif BERSIH, Asraf Sharafi, serta Pegawai Advokasi BERSIH, Anas Nor’azim, yang dilaporkan dihalang masuk selepas tiba di Lapangan Terbang Tawau pada 29 Ogos.

Pengerusi BERSIH Faisal Aziz dan Ahli Jawatankuasa Pemandu Alyaah Hani juga, menurut kenyataan itu, dimaklumkan bahawa mereka disekat daripada memasuki Sabah sejak 30 Jun.

“Ini bukan lagi satu kes terpencil. Ini sudah menjadi satu corak yang memerlukan penjelasan,” katanya.

Chin menegaskan beliau menyokong dan mempertahankan autonomi imigresen Sabah tetapi berkata kuasa berkenaan mesti tertakluk kepada undang-undang dan akauntabiliti.

“Autonomi bukan kuasa mutlak. Autonomi bukan lesen untuk bertindak sesuka hati.

“Dan yang paling penting, autonomi tidak boleh dijadikan alat untuk menyekat suara masyarakat sivil,” katanya.

Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada arahan sekatan itu datang daripada kerajaan negeri, siapa yang membuat keputusan, apakah peruntukan undang-undang yang digunakan serta apakah alasan khusus terhadap setiap individu.

Chin berkata sekiranya keputusan itu dibuat oleh Jabatan Imigresen sendiri, jabatan tersebut juga perlu tampil menjelaskan asas tindakan berkenaan.

“Hari ini aktivis reformasi pilihan raya. Esok aktivis alam sekitar. Lusa pejuang hak tanah adat.

“Kemudian mungkin wartawan, ahli akademik, peguam atau mana-mana rakyat yang berani bersuara,” katanya.

Beliau turut mencadangkan BERSIH mempertimbangkan semakan kehakiman bagi membolehkan mahkamah meneliti kesahihan sekatan tersebut.

Menurut Chin, mempertahankan MA63 dan autonomi Sabah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengelakkan semakan terhadap penggunaan kuasa kerajaan.

Berita Berkaitan