Hubungan erat Putrajaya, Sabah dan Sarawak kunci selesaikan isu MA63, kata Hajiji

KOTA KINABALU : Hubungan erat antara kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak perlu terus menjadi asas dalam mencari penyelesaian bersama terhadap perkara berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau berkata, walaupun masih terdapat perkara yang memerlukan perbincangan lanjut, semangat kekeluargaan dan sikap saling menghormati perlu dikekalkan dalam setiap rundingan berkaitan MA63.

“Hubungan erat antara kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah terus menjadi asas penting dalam usaha kita mencari penyelesaian dan jalan bersama,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), malam tadi.

Sabah menjadi tuan rumah mesyuarat MTPMA63 yang dijadual berlangsung hari ini.

Hajiji berkata, pertemuan itu penting kerana pemimpin kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak akan kembali duduk semeja bagi meneruskan perbincangan mengenai pelaksanaan MA63.

Menurutnya, pertemuan itu juga berlangsung menjelang sambutan Hari Malaysia ke-63.

Beliau berharap semangat kebersamaan yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada 1963 terus menjadi panduan dalam memelihara hubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Hajiji berkata majlis makan malam berkenaan turut menjadi platform memperkenalkan kekayaan budaya dan kesenian Sabah kepada tetamu.

Katanya, kepelbagaian suku kaum, bahasa, adat dan tradisi bukan sahaja membentuk identiti Sabah, malah menjadi sebahagian daripada kekayaan Malaysia.

Berita Berkaitan