Tambah nisbah kerusi Sabah, Sarawak mampu pulih keseimbangan Parlimen
KOTA KINABALU: Cadangan meningkatkan nisbah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak disifatkan sebagai langkah penting untuk memulihkan keseimbangan representasi di Dewan Rakyat.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara itu perlu dilihat secara positif kerana ia berkait dengan asas pembentukan Malaysia pada 1963.
Menurut Salleh, Sabah dan Sarawak secara bersama seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen.
“Saya mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri mengenai penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak. Ini merupakan satu perkembangan yang positif dan penting.
“Saya juga menyokong penuh gesaan Menteri Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, supaya cadangan ini disusuli dengan tindakan konkrit dan tidak sekadar menjadi kenyataan hasrat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Salleh yang juga Bendahari UMNO Sabah berkata, isu berkenaan bukan sekadar soal menambah beberapa kerusi, sebaliknya melibatkan usaha mengembalikan keseimbangan yang menurutnya selaras dengan semangat pembentukan Malaysia.
“Selepas lebih 60 tahun, sudah tiba masanya prinsip ini diterjemahkan kepada pelan tindakan yang jelas, langkah konkrit dan pelaksanaan.
“Mengembalikan keseimbangan satu pertiga di Parlimen bukan bertujuan melemahkan Malaysia. Sebaliknya, ia akan memperkukuh perkongsian Persekutuan dan menghormati asas serta semangat pembentukan Malaysia,” katanya.
Anwar sebelum ini memaklumkan kerajaan secara prinsip bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak, dengan mekanisme serta perinciannya akan dibincangkan bersama pihak berkaitan.

