Hormati pengampunan Najib, prinsip keadilan jangan digadai, kata Mustapha
KOTA KINABALU: Keputusan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib Razak perlu dihormati, tetapi ia tidak bermakna prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang harus diketepikan, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.
Mustapha berkata keputusan berkenaan dibuat mengikut kerangka Perlembagaan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Penghormatan terhadap Perlembagaan tidak bermaksud kita menggadaikan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.
“Sesiapa yang melakukan kesalahan jenayah terutama berkaitan salah laku kuasa dan rasuah hendaklah dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang tanpa mengira pangkat atau pengaruh,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman kes SRC International di rumah sehingga 23 Ogos 2028, dengan syarat antaranya membayar denda RM50 juta.
Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar kemudian menjelaskan pengampunan itu hanya terpakai bagi hukuman kes SRC International.
Mustapha berkata negara perlu terus mempertahankan integriti dan kebebasan institusi serta memastikan proses undang-undang berjalan tanpa mengira kedudukan seseorang.
Pada masa sama, beliau mahu tumpuan diberikan kepada kestabilan politik, agenda reformasi dan pemulihan ekonomi.
Katanya, bagi Sabah dan Sarawak, perhatian terhadap tuntutan MA63 yang belum selesai serta penambahbaikan peruntukan pembangunan juga perlu diteruskan.

