‘Saya mohon maaf kepada seluruh rakyat Sabah’ – Mauro Persic

KOTA KINABALU: Pendaki warga Croatia, Mauro Persic, memohon maaf kepada rakyat Sabah susulan tindakannya meneroka Gunung Kinabalu melalui laluan tidak rasmi dan tanpa permit.

Persic berkata dia tidak pernah berniat untuk tidak menghormati masyarakat Sabah, budaya tempatan mahupun Gunung Kinabalu.

“Saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Sabah yang berasa bahawa saya telah tidak menghormati mereka. Saya tidak berniat untuk menunjukkan rasa tidak hormat terhadap penduduk, budaya, mahupun gunung itu sendiri,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di media sosial.

Persic berkata masyarakat Sabah melayannya seperti keluarga dan dia hanya mempunyai kata-kata pujian terhadap layanan diterimanya.

Dia turut menafikan mempunyai niat untuk menceroboh atau mengelak daripada membayar yuran masuk, sebaliknya berkata tindakannya meneroka gunung berkenaan dilakukan secara spontan tanpa pertimbangan sewajarnya.

Persic turut menyatakan dia menghormati nilai kesucian Gunung Kinabalu yang dipegang masyarakat Kadazan-Dusun.

Permohonan maaf itu hadir selepas Taman-Taman Sabah membuat laporan polis berhubung tindakannya yang disyaki menggunakan laluan tidak rasmi dan mendaki tanpa permit. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin sebelum ini berkata tindakan lanjut bergantung kepada hasil siasatan pihak berkuasa. 

Persic, 46, sebelum itu mengalami kecederaan ketika berada di Gunung Kinabalu dan dibawa turun menerusi operasi mencari dan menyelamat selama lima hari yang melibatkan 43 anggota. 

Dia sebelum ini turut menyatakan kekesalan terhadap risiko yang diambilnya dan penghargaan kepada pasukan penyelamat yang membantunya. 

Berita Berkaitan