Mustapha hormati keputusan Loke letak jawatan atas prinsip

KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menghormati keputusan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook yang menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

“Saya hormati kepimpinan DAP yang sanggup meletakkan jawatan atas prinsip mereka,” katanya ketika mengulas perkembangan itu.

Loke hari ini mengumumkan beliau menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebagai respons DAP terhadap pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak. Keputusan itu dicapai selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP selama tiga jam. 

Loke berkata surat peletakan jawatannya akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat. Peletakan jawatan itu hanya melibatkan dirinya, manakala menteri dan timbalan menteri DAP lain kekal dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan politik. 

Mengulas kemungkinan kesannya terhadap susunan Jemaah Menteri, Mustapha berkata sebarang perubahan Kabinet merupakan hak budi bicara perdana menteri.

“Jika betul ada peletakan jawatan, sudah tentu akan ada perubahan Kabinet, namun itu hak budi bicara Perdana Menteri.

“Kita akan bincang minggu depan. Bagaimanapun, saya belum mendapat maklumat terkini,” katanya.

Najib pada 18 Sept diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Berita Berkaitan