Penjaja mengadu pelanggan kurang, Tony Koh mahu MPT tambah baik Pasar Tanjung

TAWAU: Bekas Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Tony Koh Kian Leong menggesa beberapa masalah kemudahan di Pasar Tanjung ditangani segera selepas menerima aduan daripada penjaja.

Koh berkata antara isu dibangkitkan ialah saliran tersumbat dan kipas yang dipenuhi habuk sehingga menjejaskan pengudaraan, khususnya di kawasan gerai makanan tingkat tiga.

Selain masalah kemudahan, beberapa penjaja turut mengadu jumlah pelanggan di tingkat berkenaan semakin berkurangan.

Koh berkata perkara itu diketahuinya ketika mengunjungi Pasar Tanjung dan Pasar Sin Onn bagi bertemu serta mendengar sendiri masalah penjaja dan orang awam.

Bagi membantu menarik lebih ramai pelanggan, beliau mencadangkan MPT memasang papan tanda yang lebih jelas di tingkat bawah bagi memaklumkan pengunjung mengenai kewujudan gerai makanan di tingkat tiga.

Menurutnya, papan tanda itu juga boleh menunjukkan kemudahan lif yang boleh digunakan pengunjung untuk ke kawasan berkenaan.

“Pasar bukan sahaja tempat penduduk membeli keperluan harian, tetapi tempat penjaja mencari rezeki. Kemudahan asas, kebersihan dan papan tanda perlu terus diberi perhatian,” katanya dalam kenyataan.

Koh berkata beliau kemudian menghubungi Presiden MPT, Mohd Shoffian Mohd Said untuk menyampaikan aduan penjaja serta beberapa cadangan penambahbaikan.

Menurut Koh, Mohd Shoffian memberi maklum balas bahawa pihak pengurusan berkaitan akan diarahkan membuat pemeriksaan dan mengambil tindakan terhadap masalah yang dibangkitkan.

Koh berharap komunikasi antara MPT, penjaja dan orang awam dapat diteruskan supaya masalah di pasar dapat dikenal pasti serta ditangani dengan lebih cepat.

Katanya, isu yang dianggap kecil boleh memberi kesan langsung kepada keselesaan pengunjung dan pendapatan penjaja yang menjalankan perniagaan setiap hari.

Berita Berkaitan