Penjawat awam, bekas CEO ditahan disyaki terima rasuah RM18,000
KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) ditahan SPRM Sabah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM18,000 bagi memudahkan operasi perlombongan emas sebuah syarikat.
Dua lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira 10 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu.
Siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat dalam perbuatan itu pada 2024 dan 2025, dengan wang berkenaan dipercayai diterima secara tunai.
Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah, mengesahkan penahanan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.
Kedua-dua suspek dijadual didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 28 September.

