Bot pukat jerut bilis ditahan di perairan Kunak
LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan pukat jerut bilis bersama empat individu selepas disyaki menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan di perairan Kunak, semalam.
Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira jam 12.35 tengah hari pada kedudukan 0.8 batu nautika timur laut Pulau Burong, Madai.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 42 tahun bersama tiga awak-awak warga Filipina berusia antara 21 hingga 41 tahun.
“Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bagaimanapun, bot berkenaan disyaki melanggar syarat sah lesen kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan.
Dzulfikhar berkata, bot bersama semua individu terbabit ditahan untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat sah lesen.
Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan pengusaha serta nelayan mematuhi syarat lesen dan peraturan perikanan ditetapkan.

