Pintas meter elektrik, dua premis disyaki sebabkan kerugian RM80,000

LABUAN: Taktik melakukan pintasan bagi mengelak meter merekodkan penggunaan elektrik sebenar terbongkar menerusi Ops Spark 2026 di sini.

Dua daripada tiga premis yang diperiksa disyaki menyalahgunakan bekalan elektrik sehingga menyebabkan kerugian kepada pihak utiliti dianggarkan RM80,000.

Operasi membanteras kecurian elektrik itu dilaksanakan Suruhanjaya Tenaga (ST) bersama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), membabitkan kira-kira 38 anggota.

Pengarah Bahagian Pematuhan dan Penguatkuasaan ST, Ismail Zaili Yusop berkata, pemeriksaan mendapati pintasan dipercayai dilakukan sehingga menyebabkan meter elektrik gagal merekodkan penggunaan sebenar.

“Kita mendapati kesalahan yang dilakukan pemilik premis iaitu melakukan pintasan yang menyebabkan meter elektrik gagal merekodkan penggunaan sebenar.

“Ini menyebabkan kadar penggunaan bekalan elektrik direkodkan lebih rendah dan sekali gus menyebabkan pihak utiliti mengalami kerugian,” katanya selepas Ops Spark 2026.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).

ST turut memberi amaran bahawa kegiatan mencuri elektrik bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada pihak utiliti, malah boleh mengakibatkan gangguan bekalan dan mendatangkan risiko keselamatan kepada orang awam.

Operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi membanteras penyalahgunaan bekalan elektrik serta memastikan aspek keselamatan pengguna sentiasa terpelihara.

Berita Berkaitan