MMA Sabah Beri Amaran Kekurangan Doktor Hampir Ke Tahap Kritikal

KOTA KINABALU: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah memberi amaran bahawa masalah kekurangan doktor di negeri itu semakin serius, susulan kadar pegawai perubatan dari luar Sabah yang dilaporkan menerima dan melapor diri bagi penempatan hospital yang rendah.

Pengerusinya, Dr Brandon Patrick Senagang berkata berdasarkan maklumat yang tersedia kepada MMA Sabah, seramai 138 pegawai perubatan dari luar negeri dijangka melapor diri di hospital seluruh Sabah, tetapi hanya 47 orang atau kira-kira 34% berbuat demikian ketika maklumat itu dikumpulkan.

Menurutnya, angka tersebut hanya melibatkan penempatan hospital dan tidak termasuk doktor yang ditempatkan di Pejabat Kesihatan Daerah serta klinik kesihatan kerajaan.

MMA Sabah berkata maklumat pada peringkat fasiliti serta maklum balas doktor menunjukkan sebahagian besar hospital yang terjejas dalam pergerakan terbaru pegawai perubatan mengalami kehilangan bersih tenaga kerja berbanding pertambahan.

Persatuan itu menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menerbitkan serta mengesahkan keseluruhan angka pelaporan di Sabah bagi membolehkan tahap sebenar kekurangan tenaga kerja dinilai.

Doktor sedia ada tanggung beban

Brandon berkata masalah berkenaan berlaku ketika banyak hospital Sabah sudah beroperasi dalam keadaan kekurangan tenaga kerja.

Menurutnya, MMA Sabah menerima maklum balas mengenai jabatan tertentu yang memerlukan pegawai perubatan melakukan tugas atas panggilan selang sehari kerana jumlah doktor tidak mencukupi untuk menyediakan jadual kerja.

“Ini tidak mampan. Kita tidak boleh menyelesaikan kekurangan tenaga kerja dengan terus meminta doktor yang masih ada bekerja lebih banyak,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu boleh mencetuskan kitaran kekurangan kakitangan, keletihan, burnout dan penghijrahan tenaga kerja, manakala pesakit berisiko berdepan masa menunggu lebih panjang serta kelewatan rawatan.

MMA Sabah turut menyokong gesaan Presiden MMA, Dr Sivanaesan Letchumanan supaya struktur insentif bagi doktor di Malaysia Timur dikaji semula, termasuk mengembalikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) berasaskan peratusan.

Antara langkah lain dicadangkan ialah memperkukuh bantuan perpindahan, memberikan kepastian mengenai tempoh penempatan di Malaysia Timur, memperbaiki kemudahan kuarters serta mengiktiraf perkhidmatan di kawasan kurang mendapat liputan melalui peluang kerjaya dan latihan pascasiswazah.

Pada masa sama, MMA Sabah berkata kerajaan negeri juga boleh memainkan peranan melalui penyediaan perumahan kakitangan, insentif tambahan khusus Sabah, penambahbaikan kemudahan asas luar bandar dan pembangunan lebih ramai doktor berasal dari Sabah.

“Jawatan tetap yang tidak diterima oleh mana-mana doktor tidak merawat pesakit. Perjawatan yang hanya wujud di atas kertas tidak mengendalikan hospital.

“Sabah memerlukan doktor yang benar-benar berada di lapangan,” kata Brandon.

MMA Sabah menggesa kerajaan Persekutuan dan negeri bertindak bersama sebelum tekanan kekurangan tenaga kerja itu menjejaskan keupayaan perkhidmatan kesihatan.

Berita Berkaitan