Triton rempuh pokok, pemandu maut tersepit
TUARAN: Seorang lelaki berusia 44 tahun maut selepas kenderaan Mitsubishi Triton dipandunya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Tuaran Bypass di sini, awal pagi Ahad.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian di hadapan CS Chan Furniture pada jam 12.55 tengah malam.
Menurut kenyataan itu, lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas kemudian digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 1.04 pagi.
“Pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Mitsubishi Triton yang terbabas sendiri sebelum melanggar sebatang pokok.
“Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu kenderaan berkenaan yang tersepit,” menurut kenyataan itu.
Operasi diketuai PBK I Selvister Yamud dan mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas penyelamatan.
Bagaimanapun, pemeriksaan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang turut melibatkan KKM dan polis ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.05 pagi selepas pemeriksaan akhir dilakukan di lokasi.

