Jangan ada pilih bulu dalam perang dadah – Aliakbar
KOTA KINABALU: Jangan kerana wang, undang-undang boleh dibeli. Jangan kerana pengaruh, kesalahan boleh ditutup dan jangan kerana kedudukan, seseorang boleh berdiri di atas undang-undang.
Itu amaran Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang menegaskan usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah mesti dilaksanakan secara tegas, adil serta tanpa tindakan terpilih atau dwistandard.
Beliau berkata, isu berkenaan bukan sekadar membabitkan jenayah, sebaliknya turut mengancam keselamatan rakyat, masa depan generasi muda dan pembangunan negeri.
Menurutnya, PAS Sabah memandang serius kenyataan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah yang semakin membimbangkan.
“Dadah tidak mengenal darjat, pangkat dan kedudukan. Justeru, usaha membanterasnya mesti dilaksanakan dengan tegas, menyeluruh, adil dan tanpa memilih bulu.
“Tidak boleh ada golongan yang kebal hanya kerana mempunyai wang, pengaruh atau kedudukan.
“Undang-undang mesti berdiri tegak untuk semua, bukan keras kepada yang lemah tetapi lunak kepada mereka yang mempunyai pengaruh,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berkata, kuasa diberikan kepada mana-mana pihak adalah amanah dan bukannya lesen untuk melindungi individu tertentu daripada tindakan undang-undang.
Katanya, sebarang unsur rasuah, salah guna kuasa atau perlindungan terhadap sindiket pengedaran dadah, sekiranya wujud, perlu disiasat secara telus tanpa mengira pangkat atau kedudukan individu terbabit.
“Cukup-cukuplah dengan rasuah. Jangan kerana wang, undang-undang boleh dibeli.
“Jangan kerana pengaruh, kesalahan boleh ditutup. Jangan kerana kedudukan, seseorang boleh berdiri di atas undang-undang,” tegasnya.
Sindiket dadah tidak boleh dilindungi
Aliakbar berkata, usaha memerangi dadah tidak boleh tertumpu kepada penangkapan pengedar di jalanan semata-mata, sebaliknya perlu membanteras keseluruhan rangkaian termasuk pihak yang mungkin berselindung di sebalik kuasa dan pengaruh.
Menurutnya, selagi wujud ruang untuk rasuah dan salah guna kuasa, sindiket dadah akan terus mencari peluang menjalankan kegiatan mereka.
“Sabah tidak boleh menjadi tanah subur kepada kegiatan dadah.
“Setiap ruang yang memungkinkan sindiket berkembang mesti ditutup dan setiap kelemahan dalam sistem penguatkuasaan mesti diperbaiki,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa penyalahgunaan dadah boleh menyumbang kepada peningkatan jenayah, vandalisme serta kerosakan kemudahan awam.
Katanya, kerosakan jalan raya, lampu awam, kemudahan rekreasi dan infrastruktur lain akhirnya menyebabkan kerajaan terpaksa menggunakan peruntukan tambahan untuk kerja pembaikan.
Keadaan itu, menurutnya, boleh menjejaskan peruntukan yang sepatutnya digunakan bagi pembangunan sekolah, kemudahan kesihatan, bekalan asas dan kawasan luar bandar.
Jangan biar dadah rampas masa depan anak Sabah
Aliakbar berkata, generasi muda tidak seharusnya menjadi mangsa kepada pihak yang mengaut keuntungan daripada kegiatan pengedaran dadah.
“Anak-anak muda sepatutnya membina masa depan Sabah, bukan menjadi korban kepada kerakusan mereka yang menjadikan dadah sebagai lubuk keuntungan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan semua agensi penguatkuasaan memastikan usaha membanteras dadah bebas daripada campur tangan tidak wajar, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Katanya, rakyat mahu melihat penguatkuasaan yang bersih dan keadilan dilaksanakan secara saksama tanpa mengira latar belakang seseorang.
“Apabila kuasa disalahgunakan, amanah menjadi pengkhianatan. Apabila rasuah berleluasa, undang-undang menjadi dagangan.
“Apabila dwistandard berakar, kepercayaan rakyat akan rebah.
“Jangan biarkan wang membeli keadilan, jangan biarkan kuasa membungkam kebenaran dan jangan biarkan dadah merampas masa depan anak-anak Sabah,” katanya.

