Motosikal masuk laluan bertentangan, penunggang maut bertembung Bezza

BEAUFORT:: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Bezza di Jalan Suasa, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 41 tahun mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 36 tahun sedang dalam perjalanan dari Kampung Lago menuju ke Beaufort.

Katanya, motosikal Honda ditunggang mangsa pula bergerak dari arah Kampung Gelila Jaya menuju ke Kampung Lago.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai memasuki laluan kereta sebelum kedua-dua kenderaan bertembung.

“Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pemandu Perodua Bezza hanya mengalami kecederaan ringan, manakala seorang kanak-kanak yang menjadi penumpang kereta berkenaan tidak cedera.

Champin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Khairul Shazree Hashim di talian 010-2531451.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan memastikan kenderaan berada di laluan yang betul bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Berita Berkaitan