Kerajaan Sabah teliti inisiatif khas sektor kesihatan
TUARAN: Kerajaan negeri akan meneliti cadangan melaksanakan satu inisiatif khas bagi
membantu menangani cabaran sektor kesihatan di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata langkah itu perlu
dipertimbangkan berikutan masih banyak cabaran berkaitan sektor kesihatan di negeri ini yang
perlu ditangani.
Beliau berkata, kerajaan amat menggalakkan aktiviti seperti bersukan, termasuk pelaksanaan
Hari Sukan Negara setiap tahun, bagi memastikan rakyat sentiasa mengamalkan kehidupan
sihat dan cergas.
“Namun, masih banyak yang perlu kita buat dan untuk itu kerajaan negeri akan meneliti
cadangan untuk melaksanakan satu inisiatif khas bagi membantu menangani cabaran-cabaran
sektor kesihatan di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari
Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah 2026 di Padang Istiadat, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Hari Sukan Negara bukan sekadar acara tahunan atau program yang
menghimpunkan masyarakat untuk bersukan dalam tempoh sehari, sebaliknya satu gerakan
untuk membudayakan sukan, kecergasan dan gaya hidup aktif dalam kehidupan seharian
rakyat.
Katanya, sukan mempunyai peranan besar dalam membentuk masyarakat yang sihat, aktif dan
produktif, selain menjadi medium menyatukan masyarakat tanpa mengira umur, kaum, agama,
latar belakang mahupun kedudukan.
Beliau berkata, Sabah meletakkan sasaran 651,610 penyertaan sempena sambutan Hari Sukan
Negara tahun ini, yang memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak.
Katanya, kejayaan sambutan itu memerlukan penglibatan bersama kementerian dan jabatan
kerajaan negeri serta Persekutuan, institusi pendidikan, pihak berkuasa tempatan, persatuan
sukan, pertubuhan belia, komuniti serta seluruh rakyat Sabah.
Hajiji berkata, pendekatan memperluaskan sambutan peringkat negeri ke daerah seperti Tuaran
pada tahun ini amat baik kerana memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat di peringkat
akar umbi merasai sendiri kemeriahan Hari Sukan Negara.
Katanya, sambutan turut dilaksanakan di lima zon lain di seluruh negeri, iaitu Tawau, Sandakan,
Beaufort, Kudat dan Keningau, bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai masyarakat di
seluruh Sabah.
Beliau berkata, semangat Hari Sukan Negara perlu diteruskan sepanjang masa dan bukan
hanya ketika sambutan tahunan, khususnya dalam kalangan golongan belia yang perlu
menjadikan sukan sebagai gaya hidup harian.
“Sukan bukan sahaja membentuk tubuh yang sihat. Sukan turut mengajar kita tentang disiplin,
kepimpinan, kerjasama, ketahanan diri dan semangat untuk tidak mudah berputus asa. Nilai-
nilai inilah yang kita perlukan dalam membentuk generasi muda Sabah yang berkualiti dan
berdaya saing,” katanya.
Hajiji berkata, kejayaan sebenar usaha membudayakan sukan bukan hanya diukur melalui
jumlah program yang dianjurkan atau peserta yang direkodkan, tetapi apabila rakyat menjadikan
aktiviti fizikal dan sukan sebagai kebiasaan serta gaya hidup.
Beliau turut berharap sambutan Hari Sukan Negara menjadi pemangkin kepada lebih banyak
program sukan dan rekreasi yang inklusif, mudah disertai serta mampu menarik penglibatan
masyarakat daripada pelbagai peringkat umur.
Katanya, platform itu juga perlu dimanfaatkan bagi mengenal pasti atlet remaja berpotensi tinggi
di peringkat daerah untuk diketengahkan ke peringkat negeri, negara dan antarabangsa.

