Jalan Bulan berlubang, pengguna gesa JKR bertindak segera

KOTA KINABALU: Keadaan Jalan Bulan, Tuaran Bypass yang rosak dan berlubang mengundang kebimbangan pengguna jalan raya, terutama penunggang motosikal yang berisiko terbabit dalam kemalangan.

Masalah itu mendapat perhatian selepas seorang pengguna TikTok dikenali sebagai Boss Saiful memuat naik video memaparkan beberapa lubang pada permukaan jalan berkenaan.

Menerusi rakaman itu, kelihatan permukaan jalan tidak rata dengan beberapa lubang dipenuhi air, selain kerosakan pada lapisan tar.

Keadaan berkenaan dikhuatiri membahayakan pengguna jalan raya, khususnya ketika hujan dan pada waktu malam apabila lubang sukar dilihat.

Boss Saiful menerusi hantaran itu menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengambil tindakan segera sebelum kerosakan menjadi semakin serius.

“Mohon pihak JKR Sabah baiki jalan ini segera. Tampal lubang itu sebelum makin besar dan makin dalam.

“Bahaya kepada semua, terutama motosikal,” katanya.

Rakaman berkenaan turut memperlihatkan beberapa kenderaan melalui laluan yang mengalami kerosakan itu.

Pengguna jalan raya berharap kerja pembaikan dapat dilaksanakan segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada aduan rasmi sudah dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan.

Maklum balas JKR Sabah berhubung status penyelenggaraan dan tindakan pembaikan di lokasi berkenaan juga belum diperoleh.

Berita Berkaitan