Penunggang motosikal didakwa dipukul dengan topi keledar, ditendang di kepala
KOTA KINABALU: Satu rakaman video memaparkan seorang penunggang motosikal dipercayai dipukul menggunakan topi keledar sebelum ditendang di kepala oleh beberapa individu di Inanam, di sini, tular di media sosial pada Ahad.
Kejadian itu mendapat perhatian pengguna media sosial selepas rakaman berkenaan dikongsikan menerusi platform TikTok oleh Sabah Revolusi.
Berdasarkan keterangan yang dimuat naik bersama video itu, penunggang motosikal terbabit didakwa dihentak menggunakan topi keledar oleh beberapa individu.
Mangsa yang dikatakan rebah kemudiannya didakwa ditendang di bahagian kepala oleh seorang individu berambut kuning.
“Hentak guna topi keledar, sepak kepala,” menurut keterangan pada perkongsian berkenaan.
Bagaimanapun, punca sebenar kejadian serta keadaan mangsa selepas insiden itu masih belum dapat dipastikan.
Lokasi tepat dan masa kejadian juga belum disahkan, selain tidak diketahui sama ada laporan polis sudah dibuat berhubung insiden berkenaan.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi pihak polis diperoleh bagi mengesahkan kejadian atau mengenal pasti individu yang terbabit.
Rakaman yang tular itu turut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sementara menunggu penjelasan pihak berkuasa.

