‘Jangan terlalu sayangkan kerusi’ – Hajiji beri amaran kepada parti komponen GRS
KUDAT: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengingatkan pemimpin parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya tidak terlalu taksub mempertahankan jawatan dan kepentingan politik masing-masing sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat.
Hajiji yang juga pengerusi GRS berkata, kepentingan Sabah mesti sentiasa mengatasi kepentingan gabungan itu, manakala kepentingan GRS pula perlu didahulukan berbanding kepentingan mana-mana parti komponen atau individu.
Beliau menegaskan perpaduan dalam GRS menjadi asas penting untuk memperkukuh kedudukan politik Sabah, termasuk meningkatkan kuasa tawar-menawar negeri dalam hubungan dengan kerajaan Persekutuan.
“Tidak guna kita memuji kesatuan orang lain, kalau dalam rumah GRS sendiri kita masih bertelagah.
“Kekuatan Sabah sebenarnya bermula di sini, daripada kekuatan kita sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen GRS 2026 di Dewan Tun Mustapha, Kudat, hari ini.
Jangan jadikan pembahagian kerusi punca perpecahan
Hajiji berkata, perbincangan mengenai pemilihan calon dan pembahagian kerusi menjelang pilihan raya akan datang dijangka menjadi ujian kepada kesetiaan serta semangat kerjasama antara parti komponen.
Menurutnya, setiap pemimpin perlu membezakan antara mempertahankan prinsip perjuangan dengan mempertahankan ego politik.
Beliau mengingatkan pemimpin yang gagal memperoleh kerusi supaya tidak menjadikan keputusan itu sebagai alasan untuk merajuk, enggan bekerjasama atau menyerang rakan sendiri.
“Tidak ada calon GRS yang menang seorang diri! Di belakang setiap kemenangan ada jentera daripada pelbagai parti.
“Ingatlah, politik sentiasa berubah. Hari ini kita mungkin kuat, esok belum tentu!” katanya.
Hajiji turut mengingatkan pemimpin supaya tidak terlalu mempertahankan kedudukan kerana jawatan politik bukan milik kekal mana-mana individu.
“Sebab itu, jangan terlalu sayangkan kerusi sehingga kita lupa mengapa kita diberikan kerusi itu,” katanya.
Tindakan keluar gabungan jadi pengajaran
Mengulas perkembangan politik dalam GRS, Hajiji berkata, tindakan sesetengah pihak meninggalkan gabungan untuk membawa haluan sendiri perlu dijadikan pengajaran kepada semua parti komponen.
Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau berkata, pengalaman itu sepatutnya mendorong GRS memperkukuh perpaduan, meningkatkan kematangan dalam membuat keputusan dan mengetepikan ego politik.
Katanya, kejayaan GRS muncul sebagai blok terbesar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada November tahun lalu bukan hasil perjuangan satu parti atau individu semata-mata.
Sebaliknya, beliau berkata, kemenangan itu dicapai melalui sumbangan bersama semua parti komponen, kepimpinan dan jentera akar umbi.
“Tidak ada parti yang begitu besar sehingga tidak lagi memerlukan rakannya.
“Dan tidak ada parti yang terlalu kecil sehingga sumbangannya boleh kita abaikan. Masing-masing mempunyai peranan,” katanya.
GRS ditubuhkan pada 2020 dengan membawa aspirasi memperkukuh politik tempatan bagi membolehkan rakyat Sabah menentukan hala tuju negeri sendiri.
Parti tempatan bukan jaminan sokongan rakyat
Dalam ucapannya, Hajiji turut mengingatkan bahawa status sebagai parti tempatan tidak secara automatik menjamin kepercayaan dan sokongan pengundi.
Menurutnya, rakyat menilai sesebuah kerajaan berdasarkan kemampuan menyelesaikan masalah, menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup mereka.
“Rakyat mahu sebuah kerajaan yang stabil, yang bukan sekadar pandai bercakap, tetapi mampu menyelesaikan masalah.
“Kita boleh menang berucap ketika di atas pentas, tetapi kalah dalam menawan hati rakyat,” katanya.
Beliau berkata, perbezaan pandangan politik serta kepelbagaian masyarakat Sabah perlu difahami dan dihormati bagi memastikan GRS kekal relevan.
Katanya, perjuangan politik tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kemenangan pilihan raya, sebaliknya perlu menghasilkan perubahan yang dapat dirasai rakyat.
Jangan lupa pengorbanan akar umbi
Hajiji turut mengingatkan pemimpin GRS supaya tidak melupakan pengorbanan ahli akar umbi yang menjadi tulang belakang kemenangan gabungan itu.
Beliau berkata, ramai petugas parti sanggup menggunakan wang dan kenderaan sendiri, selain mengorbankan masa bersama keluarga untuk membantu kempen pilihan raya.
“Orang-orang inilah yang sebenarnya menjadi asas kekuatan GRS.
“Kita yang berada di atas pentas ini boleh berdiri di sini kerana ramai orang di bawah dan di luar sana yang membantu dan mengangkat kita sampai pada kedudukan ini.
“Makanya, jangan sekali-kali kita lupa pada mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji turut menyeru supaya generasi muda diberikan ruang lebih besar dalam kepimpinan GRS tanpa mengetepikan pengalaman pemimpin lama.
Beliau berkata, hubungan antara parti komponen perlu berasaskan kepercayaan, sikap saling menghormati dan kesediaan bertolak ansur.
Hajiji menegaskan empat prinsip perjuangan GRS, iaitu Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper, tidak seharusnya tinggal sebagai slogan politik semata-mata.
Sebaliknya, prinsip itu perlu dibuktikan melalui dasar, tindakan dan pencapaian pentadbiran yang benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat Sabah.
— SABAH NEWS TODAY

